Monday, August 30, 2004

reallifegoeslikethis 2

reallifegoeslikethis2


MERDEKA!


Bukankah hari ini kita sudah merdeka?
Dan hari-hari yang semalamnya?
Maka kenapa malam ini,
Kita perlu terpekik terlolong histeria?


Apa itu tafsir merdeka?
Pada ketika, tugu atau kehebohan?
Merdeka itu kerana 31 Ogos?
Boleh jadi kerana Dataran Merdeka.
Atau kerana Bulan Kemerdekaan?


Heh!


Jangan jadi bodoh!
Kau ini memang anak negara merdeka.
Kerana Malaysia ini sudah lama bebas,
daripada terjajah atau dijajah.


Anak merdeka jiwanya merdeka.
Merdeka minda merdeka cakapnya.
Tapi kau? Kau ini merdeka?
Merdeka nama atau sebenar-benarnya?


Malam upacara merdeka,
Malam muhasabah jiwa.
Kerana apa?


kerana,
Kita ini pastinya adalah
anak negara merdeka.
Negara sudah merdeka,
cuma kita saja entah bila.






30 ogos 2004..hour1654
Kuala Lumpur, Malaysia

Tuesday, August 24, 2004

my_theory 4

mytheory4


Memahami Sengketa DBP-RTM: Meletakkan Bahasa Pada Tempatnya


Memetik kata-kata Munsyi Abdullah:

Maka sebab itulah heran segala bangsa yang besar-besar itu kepada orang Melayu, kerana ********* oleh mereka itu. Maka orang bangsa yang melahirkan bahasanya sendiri iaitu menjadi besar dan barangsiapa yang tiada menengahkan bahasanya seperti kelakuan orang Melayu itu maka, ia itulah tinggal dalam bodoh dan menjadi bangsa kecil keadaannya, seperti anak-anak ikan kecil menjadi makanan ikan-ikan yang besar-besar adanya. Maka jikalau engkau hendak mengetahui akan sebabnya barang siapa yang membuangkan bahasanya itu, maka ia akan menjadi bangsa kecil dan hina, maka inilah sebabnya.
:-Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1831) Prakata Sejarah Melayu.




:)

Munsyi Abdullah nampaknya telah menyampaikan suatu poin yang penting di sini. namun, pada masa yang sama, wajarlah kita ingati jua, bahawa Munsyi Abdullah yang inilah, yang telah menterjemahkan Bible dengan nama barunya, Kitab Al-Kudus atau Injil Kudus.


Apa kaitannya? Apa relevannya?


Saya yakin bahawa dalam usaha menaikkan bahasa, ada hadnya. tidaklah pula dibenarkan kita ikut berdakyah semata-mata kerana ingin melihat bahasa kita digunakan di mana-mana.


Saya tak menafikan kerelevanan kata-kata Munsyi Abdullah itu. Cuma sekarang saya mahu kita semua melihat sesuatu daripada pandangan berspektif. Bukan lagi emosional.

Masalah bahasa perlu dilihat dalam konteks situasi dan juga masa. Sebab itu saya menulis tentang konsep bahasa pada awalnya. Supaya kita semua boleh beri faham bahawa bahasa itu masalah yang penyelesaiannya tak sama. Kesudahan mengikut keadaan.





Berbalik pada isu DBP-RTM, pertama-tama, wajarlah kita fahamkan keadaan pemahaman kedua-dua belah pihak. Yakni DBP berpegang pada "bahasa jiwa bangsa" manakala RTM pula, "bahasa itu komunikasi". jelas di sini, kedua-dua pihak berbeza pendapat pada konsep bahasa itu sendiri.

Keduanya, selepas difahami kefahaman kedua-dua pihak, barulah boleh dinilaikan pihak mana yang lebih dominan, RTM atau DBP? Pada pendapat saya, (mungkin menyamai pendapat majoriti anda), DBP adalah lebih dominan. Ingat, saya gunakan kata "dominan" di sini. bukan "benar" atau "salah". Dua-dua ada betul, ada salahnya.

Kenapa DBP lebih dominan? Jawapan perlu berhujah. Berbalik pada konsep asal, bahasa itu adalah jiwa bangsa dan juga alat komunikasi. Dua-dua konsep bahasa perlu dipatuhi dalam menjadikan fungsi bahasa maksimum.



Bahasa Melayu adalah jiwa orang melayu. Bahasa Malaysia adalah jiwa orang Malaysia. Bahasa rojak adalah jiwa orang rojak :) Zaman globalisasi, pluralisme, universalisme ini, identiti budaya, suatu bangsa adalah amat penting. Jika kesamaan bangsa, bahasa tak difahami, dibimbangi hilanglah identiti bangsa sejajar dengan hilangnya bahasa.

Jika hilang identiti bangsa, maka hilanglah bangsa. Kerana adanya bangsa kerana wujudnya nilai dan caranya yang unik. Jika ia menikut sahaja, jadilah ia bangsa yang diikuti. Bukanlah bangsanya sendiri.

Dalam bahasa, sebenarnya tersirat adab-adab bangsa. Lihat dengan jelas dalam sastera Melayu. melayu lebih gemar berpantun, sedangkan Inggeris lebih gemar berterus terang saja. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, tanda seru tak boleh diletakkan terus selepas kata seru. Perlulah ada ayat penyata(penjelas pada kata seruan) dahulu, barulah boleh diletakkan tanda seru. Dalam bahasa Inggeris, dibenarkan.

Tersiratnya, bangsa Melayu amat mementingkan kesopanan ketika menegur. teguran perlu berlapik, dan beradat. Kemarahan (disimbolkan pada kata seruan), hanya dibolehkan selepas menjelaskan sebab kemarahan. Tidak boleh marah sesuka hati, mesti bersebab.

Malahan jika dikaji lebih teliti (malangnya itulah, orang kita lebih gemar beremosi), kata-kata cacian, carutan mahupun hamun, tidak pernah mendapat tempat dalam bahasa Melayu klasik. Hanya selepas kedatangan Inggerislah, dengan hadirnya bahasa Melayu moden, barulah orang-orang sebelah timur ini belajar mengekspresikan diri melalui kemarahan. Sedangkan asalnya, mereka amat sensitif pada perasaan orang lain.


Di sini sudah jelas menunjukkan bahasa Melayu jati itu amat penting dan wajar diteruskan.




DBP memenuhi konsep bahasa yang pertama. Mari kita lihat konsep "bahasa sebagai komunikasi" pula.

Sebelumnya, saya pernah menulis bahawa manusia merojakkan bahasa untuk berkomunikasi secara berkesan. Persoalannya, adakah rojak dibenarkan dalam semua hal?

Komunikasi diringkaskan sebagai proses menyampaikan maklumat. Jika penerima maklumat memahami maklumat, maka disimpulkan komunikasi itu berkesan.


Adakah bahasa Melayu sekarang tidak berkesan sebagai medium?

Siapakah penerima maklumat



Berasaskan konsep ringkas komunikasi yang saya utarakan, dua soalan di atas amatlah kritikal.

Anda berhak menjawab soalan-soalan di atas sendiri. Jawapn saya adalah sekadar pendapat saya.


Penerima maklumat RTM adalah rakyat Malaysia. Kalaupun siaran RTM diterima di luar, hanya di selatan thai, Singapura ataupun sebahagian kecil Indonesia. tapi saya yakin benar bahawa Malaysia itulah sasaran RTM yang sebenarnya. Kerana nama RTM itu sendiri adalah Radio Televisyen Malaysia.

Bahasa Kebangsaan juga Bahasa Rasmi Malaysia adalah Bahasa Malaysia(juga disebut Bhasa Melayu). Ini bermakna rakyat Malaysia itu umumnya berbahasa Melayu. Atau paling tidak pun, mengetahui bahasa Melayu.


Perenggan di atas memberikan jawapan jelas mengenai Bahasa Melayu. Bahasa Melayu difahami oleh rakyat Malaysia umumnya, maka Bahasa Melayulah medium terbaik untuk berkomunikasi.

Mengenai DBP, kerajaan telah memberi amanah, juga kuasa untuk badan tersebut menyelia bahasa. Bahkan menolak peranan Bahasa Melayu, bererti menolak Perlembagaan Persekutuan. Sekaligus mempertikaikan kedaulatan Negara Malaysia.





Kesimpulannya di sini, daripada kes DBP-RTM, tindakan DBP adalah lebih relevan pada tempatnya. Sementara RTM pula perlulah menilai kembali tafsiran bahasa, yang ada pada pemahaman mereka.

Pun begitu, pada hemat saya, kita wajar membuat siri penilaian yang sama untuk kes-kes bahasa yang lain. Bukan sekadar meletakkan kesimpulan ini juga pada situasi yang berbeza.



Analogi:

Kerana memakai sutera itu banyak hukumnya. Pada wanita, cantik. Pada lelaki, haram. Namun pada lelaki juga, untuk tujuan perubatan, jadi harus.



Terima kasih.



(Mengenai Munsyi Abdullah. Saya tidaklah mengatakan bahawa perbuatan menterjemah beliau itu tercela. Bahkan beliau mungkin berfikiran jauh; menterjemah untuk mendedahkan kepincangan Bible atau untuk membuka jalan kajian Bible untuk sarjana Islam pada waktu itu.

Saya sekadar menganalogikan perbuatan beliau itu mengikut tafsiran manusia umumnya. Moga diampunkan dosa saya, andai ada yang tersalah faham.)

Thursday, August 19, 2004

my theory 3

mytheory3


Memahami Sengketa DBP-RTM : Dari Maknanya Bahasa


Adakah anda chaunivist?

Seorang menteri menyinggung semangat kebangsaan saya bilamna menyifatkan mereka yang tegar dengan bahasa melayu sebagai chaunivist.

Pelampau bahasa. kiranya itulah saya. Saya bukan pelampau agama kerana saya tidak menyuarakan istilah jihad secara terbuka. Tapi saya adalah pelampau bahasa kerana keengganan saya menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium.

Anda tentu telah membacanya. Mungkin juga telah membuat komen panjang tentangnya.

Sejujurnya saya maish tidak layak digelarkan "chauvinist" itu. kerana dalam memetik artikel inggeris itu, saya masih mengguna pakai perkataan inggeris,yakni 'chauvinist' itu sendiri.

Apa yang mahu diutarakan di sini? Saya tidak mahu menulis tentang "keperluan bahasa melayu" atau "melayu akan tercicir tanpa bahasa inggeris". kedua-duanya ada benarnya dan ada pula sudut pembaikiannya. Saya cuma mahu kembali pada asalnya.

Maksudnya? Bagi saya, kita sudah berhujah terlalu panjang pada perkara ranting. Hujah-hujah ini tidakkkan mengubah apa-apa kerana itu bukanlah isu yang sebenarnya. Ada pokok pada ranting-ranting ini. Dan pokok itulah yang wajib dikenali dan dibentuk supaya ranting-ranting ini tidak lagi bercakaran.

tak kenal maka tak cinta

Ini pepatah melayu lama. "kenal dan cinta" bukan sekadar konsep cinta adam dan hawa, ia juga mengenai bahasa.

kenalkah anda pada si bahasa? Tahukah anda siapa dia?




Umum mengenali bahasa sebagai "bentuk komunikasi". Kita berbahasa untuk menyampaikan sesuatu. Bahasa adalah alat atau kaedah untuk kita berhubung.

Takrifan ringkas ini membenarkan bahasa rojak digunapakai. Kerana bahasa itu sendri adalah alat perhubungan. Apa guna bahasa madah pujangga, andai mesej tidak sampai?

Kerana itulah ramai antara kita mencapuradukkan antara bahasa melayu dan inggeris. InI kerana sesetengah hal; tidak dapat diungkapkan dengan jelas dalam suatu bahasa.

Mungkin kerana itulah jua RTM begitu berkeras dalam menggunakan istilah "infotainmen". Mungkin ini kerana RTM melihat bahasa sebagai bentuk komunikasi. Dan komunikasi paling berkesan adalah "perkataan pendek untuk makna yang universal"



Malang sekali dunia ini jelas membezakan antara "tanggapan atau takrifan umum" dengan " takrifan sebenar atau teknikal".

Bahasa dalam takrifan sebenarnya adalah lebih daripada komunikasi. Bahasa adalah lebih kepada suatu nilai atau identiti. Bahasa Melayu mengandungi nilai bangsa Melayu dan juga identiti kemelayuan. Bahasa adalah komponen pembentukan bangsa.

Bahasa jiwa bangsa

Bahasa, bersamanya suatu keindahan pekerti Melayu.
Dalam bahasa jua, ada adat dan peraturan Melayu.
Bahasa Melayu membentuk pemikiran Melayu.


Bahasa adalah mohor atau cop suatu bangsa. Bangsa dikenali melalui bahasa. Bahasa mencorak bangsa. Dengan suatu harga atau nilai sebenar bagi bahasa, iaitu pencorak bangsa, maka persamaan ringkas bagi merosakkan bahasa adalah merosakkan bangsa. Menggaulkan bahasa adalah menggauli bangsa.

Jadi, mungkin kerana inilah DBP begitu berkeras mempertahankan "dosa" menambah-nambah istilah "infotainmen". Kerana ia seolah-olah mencemari kedaulatan bangsa itu sendiri.



Ok, sekarang anda jelas dengan takrifan dan konsep bahasa, bukan? Mari kita buka horizon minda.

kenapa tak saya jelaskan pendirian? Menyokong pihak itu, atau membantah pihak ini.

Pendirian saya berubah mengikut keadaan dan kes. Harapnya anda pun begitu jua. Ramai mengutuk lalang kerana meliuk kanan dan kiri kerana ditiup angin. Ironinya, kerana itu jugalah ia kekal di situ.

:)

Dalam realiti atau kehidupan sebenar, konsep malar atau " satu konsep mendefinasi semua" tidak boleh digunapakai. Bahkan teori relativiti Newton sekalipun seperti "pegun tetap pegun, dan yang bergerak terus bergera selagi tiada daya luar mengganggu" hanyalah bertindak pada objek lihat. Objek kuantum tidak memenuhi prinsip ini.

Samalah jua teori bahasa sebagai komunikasi dan juga teori bahasa sebagai identiti. Dua-dua ada hujahnya dan dua-dua juga ada kepentingannya.


Oh ya, esok saya akan menulis lagi tentang Memahami Sengketa DBP-RTM : Meletakkan Bahasa Pada Tempatnya.

Ini adalah cadangan saya pada kita semua dalam menaikkan martabat bangsa, pada waktu yang sama, mampu menggunakan bahasa untuk komunikasi yang berkesan. Ini siri akhir dalam dua siri Memahami Sengketa DBP-RTM.


Lain-lain mengenai bahasa, insyallah akan kita bincangkan lain kali. Saya yakin isu bahasa ini akan "panas" kembali.

:)

Wednesday, August 18, 2004

real life goes like this1

Reallifegoeslikethis1



(prolog: I’ m sorry. The current issue on ‘Antara Fakta dan Pendapat’ need to be postpones. I m currently working on Memahami Sengketa DBP-RTM.)


Seniority: Recognition to Approve.



It just today when I really sick that words from me cannot be trusted as I m not the person in charge. In actual, I do revealed that ordinary man like me, a young teenager don’t have any place in being adopted all his ideas. I can talk how many as I may, or how much as I can, but they do not significance any adults.


I m nothing. Cause I m not yet a man, nor a boy. I am in a transition between two stages. Need to get myself much more information and experiences, to get certified as an adult. To be an adult is meant as I m free. Freewill, free to choose, free to do anything ( and I do think that being an adult is meant that you are free to make sins)


People looks at your seniority when you talk, they don’t look for your ideas. Even I give better thoughts, it just getting ignored. A man they called me, but a boy they do treat me.


It is really annoying. Really. People don’t stop giving comments that I do need to extend to such ages to understand certain things. Do I? Is it really the ages that justify your ability to make a result? Why cant people just hear my words first, and then after that, they may make any assumptions on my level of thinking?


Living in nowadays world, seniority means all. I need to accept all the officer words, just because he is older than me. I am not abusing the respect. I just want to get some attention to my own thoughts.


When I m making a decision, I m thinking all the pros and cons of an action before practicing it. I am not just being fooled by my intuition or emotion. Yes, emotion and intuition do give sense to me. It just a part of making myself a human. And do adult can really be free from emotion and intuition?


I gathered all the experiences and knowledge before making a concrete act. After making a decision, I will re-examine it again. If possible, I will fix any ‘contractions’ or mistakes. I do pray to the God in each my pray everyday. What else?


Wait for me to get older? And I will learn more? I refused to. As my time limits and I only do have present as my own. My future stills uncertainty. I refuse to wait and see. I want to act. As acting is the only thing that may change my destiny.


I see a totally wrong action, I want to do something about it. In Islam, we called this as ‘ tanhau anil mungkar’. Meant as ‘prohibiting the sins’. But as I still young, still a boy, still not a matured person (why does a teenage always be justified about his maturity?),I cannot make an action. Even your words will be taken for granted. Or in more illiberal act, my words will be called as ‘harsh’ or ‘lowest form of thinking’.


Men do talk about liberating human. In my kind of phrase, I like to use ‘giving all human his value’.


And youngsters like me, does has value.






Monday, August 16, 2004

My_theory 2

mytheory2


Banjir ilmu

My_theory yang pertama adalah sekadar pemanas minda. Seperti mana enjin kereta,akal manusia pun wajar juga dipanaskan dulu sebelum memulakan sesuatu perjalanan.

Perjalanan enjin kereta adalah untuk membawa kereta dan tuan punya kereta itu sendiri ke destinasi. Boleh jadi ke pejabat. Boleh jadi jua ke tadika mahupun sekolah.

Perjalanan akal?

Mencari hak kebenaran yang mutlak.


_________________



Kalian pasti bangun tiap-tiap pagi, membaca akhbar dan menonton televisyen. Kalian jua pasti hari-hari, kan berbual dengan teman-teman dan bertukar pandangan. Juga pasti kalian kan menelaah buku-buku mahupun makalah-makalah ilmu.

Saya cuma timbulkan sedikit sahaja keraguan; dengan sebegitu banyak maklumat,bagaimana anda mahubezakan antara fakta, pandangan mahupun propaganda ?

Pernahkah kalian cuba bezakan semua ini?

Dan kenapa saya utarakan keraguan ini?

Seorang pemikir inggeris (maaf, saya lupa namanya) pernah berkata:

Jangan dibiar dalam keyakinan ini ada keraguan. Kerana ia merosakkan


Tapi saya lebih gemar andai kata-kata Hamka ditambah di hujung itu.Hamka kiranya berkata:

Bukanlah suatu ketercelaan pabila timbulkeraguan. Namun yang tercela adalah pabila keraguan itu tidak dijadikan tangga untuk mengenali kebenaran

:)


Hamka sarankan kita mencari kebenaran melalui keraguan. Jadi, kalian mahu teruskan pencarian kebenaran ini?



Doktor Ismail Faruqi pernah memberi ceramah yang luarbiasa kira-kira 15 tahun yang lalu. Ketika semua memperkatakan tentang peri-pentingnya kita turut cergas dalam mendalami 'kebanjiran ilmu'. Luarbiasanya, Dr Ismail dengan tegasnya menyatakan:

Bahawa saya lihat ledakan mahupun kebanjiran ini sama bahayanya dengan ledakan bom atom mahupun banjir besar. kerana ia sama-sama meatikan manusia dalam mati celik. Nampak ilmu,namun buta hakikat.


Kalian pasti faham kebimbangan ilmuan ulung islam ini. Keterlampauan maklumat buatkan manusia lupa kebenaran.

Bagaimana keadaan kita hari ini? Ada kesamaan dengan ciri yang pernah disuarakan?


Andainya ditanya pada saya, jawapannya jelas adalah 'ya'. Sewaktu zaman Dr Ismail,banjir itu masih kecil dan tentunya bahananya tidak besar. Hari ini,tatkala dunia diriuhkan dengan k-ekonomi dan jua teknologi maklumat, segala informasi adalah begitu melaut sekali.

Kadar penerbitan buku meningkat hingga tahap beratus-ratus buah sehari. Ini belum termasuk makalah-makalah ilmu,mahupun jurnal-jurnal (bertulis atau maya). begitu jelas dunia sekarang adalah dunia kebanjiran maklumat.

Kan bagus?

Seorang guru pernah memberi komen tentang keberuntungan generasi sekarang,kerana begitumudah sekali memperolehi ilmu.

Saya tidak menafikan soal 'mudah' itu. Ya,memang makin mudah. Namun TERLALU MUDAH inilah kelaknya akan menimbulkan kepayahan.

Dengan segala ideologi dan 'isme' yang dihadapi masyarakat sekarang,kemampuan menapis dan mencerna ilmu pada tempatnya amat terhad. Lambakan membuatkan ilmu hilang fungsinya.



Mahu lebih jelas? Insyaallah, dalam dua tiga hari ini, saya akan mulakan teori ilmu yang pertama.

Antara fakta dan pendapat

Friday, August 13, 2004

My_theory 1

mytheory1


Blog: Suatu Pencarian atau Pelarian?




Blog disentuh oleh penulis kerana penulis sendíri adalah pemilik blog(bukankah ini suatu blog).

Sebagai suatu medium, blog adalah perantara antara buah fikir pemilik blog dan juga pembaca. Blog adalah perlambangan penulis blog tersebut di alam maya. Blog sepatutnya adalah pemilik blog.

Namun timbul persoalan sosial di sini. Apakah relevannya blog jika ia adalah 'diri penulis yang satu lagi'? Cuma bezanya, yang ini di alam maya. Perlukah wujud dua watak untuk satu identiti?

Manusia dilahirkan secara amnya mampu berkomunikasi. Jika tidak melalui indera, maka melalui tangan mahupun tulisan. Adakah blog boleh disamakan dengan 'tulisan' itu?

Pemerhatian secara kritis perlu dibuat sebelum meletakkan kesimpulan; bahawa blog sama dengan tulisan.

Tulisan adalah suatu cara penyampaian maklumat yang telah digunakan sejak primitif lagi. Dimulakan dengan rajah, simbol dan kini berasaskan huruf. Tulisan adalah unik, personal dan mempunyai nilai keperibadian yang jelas. Ini dapat dilihat daripada cara menulis manusia yang pelbagai. Setiap satu mempunyai identiti. Dan manusia boleh dikenali melalui tulisannya(atau isi tulisan itu).

Adakah teori sama boleh digunapakai pada blog? Adakah blog boleh melambangkan penulis yang sebenar, atau sekadar gambaran maya penulis tersebut?

Jika dikaitkan dengan konsep asas blog, ia adalah suatu penulisan. Penulisan merupakan medium komunikasi. Kaitan ringkas ini menunjukkan bahawa blog sememangnya boleh menjadi perlambangan bagi seseorang penulis. Bahkan menjelaskan lagi sikap dan sifatnya di alam nyata.

Blog boleh menjadi medium tambahan bagi penulis. Dengan capaian serata dunia dan percuma, penulis boleh mendapat khalayak yang lebih ramai dan menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini suatu kelebihan besar bagi seorang manusia, dalam menyebarkan ilmu, jua dalam menambahkan ilmu.

Blog mampu bertindak sebagai suatu 'diari masa depan'. Harapan dan nilai daripada kesilapan lalu, dicatitkan dan kemudian menjadi pedoman bagi penulis blog tersebut(dan jua pembaca tentunya). Blog menjadikan unsur-unsur ketidaksempurnaan yang dalam diri,dibaiki melalui tulisan-tulisan bermotivasi. Walaupun sewaktu menulis blog, penulis kemungkinan masih belum sesempurna blog, namun ingatan daripada penulisan akan membuatkan pemilik blog berubah ke arah lebih baik.

Blog jua boleh dijadikan medium untuk berkongsi. Berkongsi rasa, pendapat, pengalaman, penderitaan dan pelbagai lagi. Dengan konsep maya, penulis mampu meluahkan banyak hal terselindung tanpa mempunyai masalah. Penulis boleh mempengaruhi dan mengajak pembaca menilai sesuatu daripada pendapat dan pengalaman penulis tersebut.

Melalui blog jua, penulis boleh membentuk identiti diri. Dan benarnya ada berjuta kebaikan lagi, andai penulis pandai memanfaatkan.



Namun, usah cahaya bulan membuatkan kita lupa, gelapnya malam. Blog kini, juga adalah suatu pelarian.

Pelarian membawa maksud membawa diri ke suatu tempat kerana permasalahan di tempat asal. Definasi ini sudah jelas, bukan?

Blog mewakili suatu dunia lain dalam kehidupan. Dunia Nordin (watak utama dalam Buli). Saya gunakan istilah Dunia Nordin kerana itulah perlambangan bagi umumnya blog.

Watak yang lemah di dunia sebenar, akan menjadi kuat di blog. Watak yang diam dan tersorok akan jadi riuh rendah serta terkenal. Ironinya, mereka yang diagung-agungkan dalam dunia sebenar pula, menjadi begitu kerdil dalam blog sendiri.

Ini boleh dikatakan sebagai 'sudut lain dalam diri manusia'. Dalam setiap manusia, ada nilai lainnya.

Oh, saya boleh terima teori ini. Namun beratnya saya tidak setuju.

Tv realiti dan blog sama

Marahkah anda? Saya pun penulis blog, dan tentu saya sendiri tak terkecuali daripada kritikan ini. Blog adalah 'real'. Ya, ia hidup, mempunyai naratif progresif. Ia ada nilai.

Namun blog seperti tv realiti, adalah terlalu 'real'. 'Real' adalah benar. Dan benar bagi setiap manusia itu relatif. Kebenaran yang digemari ialah kebenaran yang menonjol.

Komplekskah ayat saya? Dimudahkan, blog sebagaimana tv realiti, adalah realiti pilihan. Realiti yang dimahukan untuk saat itu, waktu itu, kerana ia menonjol.

Contoh:

Hari ini aku menangis. Sungguh-sungguh. Kerana hati aku derita sekali

Kemudian bab tangisan ini akan diulas begitu panjang. Seolah-olah tak berlaku suatu yang lain dalam hari itu, kecuali tangisan itu satu-satunya.

Ia benar. Ya. Namun realitinya tak begitu oriental. Masih ada yang lain. Dalam sedih, penulis masih juga makan, minum, tidur, melakukan aktiviti lain.

Benarlah kesedihan itu topik utama, namun adakah hal lain boleh diabaikan? Pemilihan ini menjadikan blog, pasar perasaan. Pilih, mahu gembira, mahu sedih, mahu jadi bijak pandai. Sedangkan realiti adalah gabungan.


Blog jika diperhatikan, kerap memberatkan 'bahagian lain' dalam penulis. Ia suatu penonjolan yang baik, namun kerapkali melebihi tempatnya.

Seseorang yang pendiam, akan cuba menceritakan segala-galanya di dalam blog. Mereka begitu peramah sekali. Praktis maya ini baik sekali. Namun biasanya berakhir dengan blog menjadi suatu destinasi pelarian.

Seronok menjadi seorang yang lain, membuatkan pemilik blog gemar menulis. Blog menjadi tempat luahan diri, tempat menonjolkan suatu 'sudut yang lain'. Malangnya, latihan tak difizikalkan di alam nyata, namun dikekalkan begitu sahaja. Di dalam blog.

Jika di dalam blog, kita begitu petah sekali, kenapa tak dbawa ke alam nyata?

Harapan tak terbawa ini akan menjadikan blog suatu dunia lain bagi pemiliknya. Bilamana rendah diri akibat kekurangan tersebut berlaku, pemilik blog akan lari ke 'dunia blog' dan menjadi seorang yang lain.

Ini hanya menambahkan fantasi seseorang, dan merendahkan lagi kepercayaan diri. Blog akan menjadikan mereka ini, Mat Jenin Alaf Baru. Atau Nordin Maya.


Oleh sebab blog adalah untuk publik, maka pemilik blog cuba untuk tidak terlalu peribadi. Langkah yang bagus. Namun dalam menonjolkan kesederhanaan, kerap kali kelemahan diri terus hilang dan tiada.

Motivasi itu bagus, namun penilaian kembali diri, menceritakan sedikit sebanyak kesilapan, akan membuatkan pemilik blog berpijak di dunia yang nyata. Pada masa yang sama, tidak membenarkan pembaca meng angankan watak sempurna bagi pemilik blog tersebut.

Pujian ibarat air laut. Ya, ia melambungkan kita ke atas dengan ombaknya. Namun kelak,ombak itu juga yang akan membenamkan kita ke dasar.


Pilihlah. Anda mahu jadi manusia yang mencari kebenaran, atau lari daripada kebenaran.